Total Pageviews

Sunday, July 24, 2011

Beza antara kita dengan mereka..

dingin pagi itu..
kita kelam kabut bangun..
waktu tu sumbat segala makanan lebih yang ada atas meja
takut nanti azan berbunyi tak boleh makan,
nanti perut lapar..
mana tahan sampai ke maghrib..

tapi..
pagi itu masih hangat bagi mereka..
darah merah yang mengalir menitik ke segenap pakaian itu amat menghangatkan..
asap dari muncung M-16 tak akan biarkan mereka kesejukan..
dengan tenang tanpa tergesa-gesa walau sedikitpun
mereka bergilir-gilir
merasai seteguk air dari botol mineral
cukuplah..
mereka takut tertinggal sunnah
bibir yang mulai kembali kering itu dibasahkan kembali..
dengan zikrullah yang khusyu' tanpa henti
sambil menantikan Subuh masuk..
sayup dengan tenang...

1.30 tengah hari
terasa panas berbahang
lagi tertekan tengok amoi makan aiskrim
perisa mint yang hijau-hijau pulak tu
kalau dapat jilat sikit pun jadi la
sikit je bukan nak banyak mane pun
huh lupa...
kita puasa kan..
hmmm tidur la
tidur tu ibadah kan???
lagi baik dari fikir makanan-makanan nie..

1.30 tengah hari
sahut-sahutan Quran sesudah Zohor tadi masih belum berhenti
dan masih tiada tanda akan berhenti
runsing fikiran mereka
khuatir jika puasa mereka tidak mencukupi
takut hanya lapar dan dahaga sahaja diperolehi
mereka menuntut pahala!!
mereka dambakan maghfirah!!
mereka tangiskan dosa
mereka rindukan Al Quds
mereka merayu Allah selamatkan bumi mereka
jika tidak mereka memohon dikurniakan syahid
cukuplah..
mereka tak mahu kematian yang lain selain itu
terus mereka sabar
mentadabbur Quran dan Hadis..
sambil memerhati kelibat jet pejuang
sambil melilau jika muncung kereta kebal
disasarkan ke "kubu" mereka
"kubu" Kalam Allah di dalam dada..

6.30 petang..
aduuuuuuuuuiiiii
kan dah lambat nie!!!
tertidur punya la lama
sempat lagi tak kalau nak pergi bazar nie
harap-harap makanan banyak lagi
kita terus pecut ke bazar
tanpa kita sedari
"hutang" Asar belum langsai
balik terus buat persediaan
mana boleh minum soya je..
cincau kena taruk
jangan lupa sediakan air kelapa atau tebu
takut tak cukup
bukak tv
tengok jap cerita masak-masak
ops 5 minit lagi nak masuk
cepat tuang air
nasi senduk separuh-separuh
nasi putih dengan nasi tomato
yong tau fu ada lagi..
roti pita syeikh arab pun dah sedia..
"Allahu ak........"
segelas setel
bak sini popia tu!!
jangan mengada-ngada sorokkan pulut bakar..
nyam-nyam...

6.30 petang disana
sesudah doa solat dibaca
mereka mula mengumpulkan semua
duduk di satu ruang sendat dan pengap
di tengah ruang yang sempit itu
imam mula berikan tazkirah
mengalir airmata kaum ibu
mengenangkan nasib wanita yang ramai dalam neraka
merah padam wajah ayah
memikirkan tanggungannya dan amanah yang akan ditanya
air mula diagih
kurma mula diedar
semua mengucap alhamdulillah
tiada siapa yang menyoalkan makanan itu
azan berkumandang..
mereka berdoa, merasai kurma itu
menyudahkan berbuka dengan tegukan air
masing-masing puas
kerana berpeluang melaksanakan ibadah
terus melakukan persediaan untuk maghrib berjemaah..

sesudah tarawih 8 rakaat
kita bersandar kat dinding surau
berborak hal semasa dengan kawan-kawan
menanti moreh..
sesudah moreh
balik ke rumah dengan perut sendat
tengok tv kemudian tidur..

sesudah tarawih 20 rakaat, diikuti witir..
suasana berdengung
bukan kerana mereka berbual
tapi mereka mengeluh
merintih
menangis
mengadu
pada Pencipta
perlahan lahan merebahkan diri untuk tidur sebentar
sebentar lagi nak qiamullail....

bezakah hidup kita dengan mereka??
tidak!!!
kita sama
namun apa yang berbeza
cinta kita kepada Allah
sekiranya difikirkan sejenak
jika sebutir bom gugur di rumah kita dan rumah mereka
roh siapa yang kembali pada Allah
dengan disambut kasih dan mesra???????

No comments:

Post a Comment